Seorang bilal masjid ditemui maut selepas motosikal yang ditungganginya tergelincir ketika melalui sebuah jambatan kayu di Jalan Kalatuan pada Isnin semalam.
Maut Ketika Dalam Perjalanan Ke Masjid
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Sinar Harian, kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 4.45 pagi dan dikatakan mangsa yang berusia 41 tahun itu dalam perjalanan menuju ke Masjid Kalatuan yang terletak sejauh satu kilometer dari rumahnya di Kampung Kalatuan.
Menurut Ketua Polis Daerah Papar iaitu Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, beliau memaklumkan bahawa ketika kejadian mangsa bersendirian menunggang motosikal jenis Modenas.
“Mangsa difahamkan dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh dan merupakan bilal di Masjid Kalatuan. Bagaimanapun ketika melalui sebuah jambatan kayu, motosikalnya tergelincir lalu terbabas dan menyebabkan mangsa melambung ke atas sebelum terjatuh di atas jalan raya”, jelasnya.
Meninggal Dunia Di Lokasi Kejadian
Kata Kamaruddin Ambo lagi, disebabkan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pegawai perubatan Hospital Papar mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas parah di bahagian muka. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Kredit: Sinar Harian