Seorang lelaki dilaporkan maut selepas lemas dibawa arus ketika cuba menyelamatkan bapanya yang tergelincir ke dalam sungai di Jalan Klang Lama berhampiran kondominium Avant Court, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Maut Akibat Lemas
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 21 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui oleh pasukan penyelamat pada jam 12.59 tengah hari.
Komander Operasi iaitu Mohamad Iqbal Zakaria berkata, seramai pasukan 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil dengan bantuan Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11 pagi Jumaat.
“Kerja pencarian dilakukan unit PPDA dengan jarak tebing ke tengah sungai sejauh enam meter dan kedalaman sungai satu hingga tiga meter.
“Pencarian membabitkan radius 10×6 meter persegi dengan menggunakan kaedah selaman.
“Mangsa kemudian dijumpai pukul 12.59 tengah hari sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kredit: Sinar Harian