Pendakwah bebas, Ustaz Wan Halim, tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan mengenai status perkahwinan yang dikaitkan dengan sepasang selebriti popular baru-baru ini.

Ustaz Wan Halim Jelaskan Isu Status Perkahwinan, Ingatkan Pasangan Semak Dokumen Nikah Dengan Teliti

Beliau menjelaskan bahawa sesuatu pernikahan tetap dianggap sah sekiranya memenuhi lima rukun nikah utama iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi lelaki yang beragama Islam, baligh dan berakal, serta lafaz ijab dan qabul yang sah.

Menurutnya, aspek pentadbiran juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesahihan sesebuah perkahwinan. Ustaz Wan Halim menegaskan bahawa kebenaran nikah perlu diperoleh daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), dan jika semua prosedur itu dipatuhi, maka pernikahan tersebut sah di sisi agama dan undang-undang.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan pasangan pengantin agar meneliti semula setiap butiran pada dokumen nikah, termasuk sijil perkahwinan, sebelum sebarang kekeliruan timbul. Katanya, kesilapan seperti tarikh atau maklumat yang tidak tepat sepatutnya tidak berlaku kerana pegawai bertanggungjawab akan melengkapkan butiran selepas akad nikah selesai dijalankan.

“Adalah lebih baik jika pasangan semak dahulu sijil nikah, termasuk tarikh dan maklumat penting lain. Sekiranya terdapat kekeliruan, Jabatan Agama perlu membuat semakan semula dengan merujuk saksi-saksi pernikahan bagi memastikan ketepatan data,” katanya.

Ustaz Wan Halim turut menjelaskan bahawa prosedur pentadbiran perkahwinan sudah ditetapkan dengan jelas, di mana Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (TPNCR) akan menulis tempat serta masa perkahwinan hanya selepas akad dijalankan. Sebarang perubahan pada borang permohonan terdahulu tidak akan menjejaskan kesahihan nikah selagi proses rasmi dilaksanakan mengikut ketetapan.

Beliau dalam masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi tanpa mengetahui maklumat sebenar kerana isu membabitkan perkahwinan adalah perkara yang sensitif dan perlu disahkan terlebih dahulu.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila pelakon Uqasha Senrose dilaporkan mempersoalkan tarikh sebenar pernikahannya bersama suami, Kamal Adli, selepas mendapati terdapat percanggahan dalam butiran yang tercatat pada sijil nikah mereka.

Kredit: Astro Gempak

 

[fbcomments]