Isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri mengesahkan dia menerima surat tuntutan saman daripada wanita yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Hafidz iaitu Athira Yuhada.
Shudada dalam hantaran terbaru di Instagram memaklumkan, athira telah memfailkan satu tutntutan saman terhadapnya susulan kenyataan yang dimuat naik 15 Februari lalu.

“Pihak ketiga menuntut dari tulisan saya di Instagram pada 15.2.2023 berkaitan ucapan terima kasih kerana menghancurkan hati saya dan anak-anak.
“Seharian semalam saya susah hati kerana belum pernah ada pengalaman ke mahkamah. Gementar juga memikirkan jumlah tuntutan ganti rugi yang bakal dia tuntut.
“Saya ni, baru mula hendak mencari pendapatan sendiri. Saya cuba buat perniagaan @shelupshelup. Selagi ada rezeki, saya usahakan. Buat simpanan saya dan anak-anak. Waktu jadi suri rumah dulu, saya tak menyangka perkara ini akan terjadi. Waktu dulu, tidak sedar bahawa penting ada simpanan. Patutnya perlu lebih sedia, langit tak selalu cerah,” katanya.
Seperti jatuh ditimpa tangga
“Rasa seperti jatuh ditimpa tangga selepas proses perceraian, kes mahkamah syariah, kes keganasan rumah tangga dan yang ini pula.
“Tidak mengapa. Saya perlu bangkit. Jangan kalah. Saya kena kuat dan ini perjuangan saya. Saya hendak bagi contoh pada anak-anak saya kena kuat berjuang, jangan biar dibuli dan dipijak-pijak. Biarlah satu ketika dulu saya silap, terlalu percaya,” katanya.
Dalam masa sama, Nurul Shuhada tidak dapat berkongsi jumlah tuntutan saman yang diminta oleh Athira.
Sebelum ini, Shuhada telah menulis kenyataan terima kasih kepada ‘penyondol’ rumah tangganya kerana menghancurkan hati dia dan anak-anaknya.
Perkara ini berlaku setelah Athira tampil memohon maaf secara terbuka terhadap Nurul Shuhada dan dua anaknya selepas didakwa menjadi punca pergolakan rumah tangga pasangan itu.
Hafidz yang juga bekas peserta program realiti, Hero Remaja 2011/2012 mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6; dan Umar, 3.
Sumber: Instagram Shuhada Shukri