Tragedi kehilangan enam sekeluarga dalam kejadian lemas di Sungai Korok baru-baru ini bukan sahaja meruntun hati rakyat Malaysia, malah turut memberi kesan kepada anak Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
![]()
Nama Sama Seperti Ibu Kandung, Nurulhidayah Perkenal Putri Qisya Sebagai ‘Anak Baharu’
Dalam perkembangan terbaharu, Nurulhidayah tampil memberikan sokongan moral kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, satu-satunya anak pasangan mangsa yang terselamat kerana tidak turut serta dalam perjalanan tersebut.
Melalui satu hantaran di media sosial, Nurulhidayah menyifatkan pertemuannya dengan Putri Qisya sebagai ketentuan yang penuh makna dan memperkenalkan remaja itu sebagai “anak baharu” dalam hidupnya.
“Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan,” tulisnya.
![]()
Menurutnya, dia terdorong untuk mendekati remaja berkenaan selepas mengetahui namanya hampir menyerupai nama ibu kandung Putri Qisya, Allahyarhamah Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, yang turut terkorban dalam insiden tersebut.
Nurulhidayah turut memohon doa orang ramai agar Putri Qisya membesar dengan kekuatan jiwa dan menjadi wanita yang solehah serta berjaya dalam kehidupan.
“Semoga Qisya membesar menjadi wanita solehah yang cemerlang, berjaya dan disegani,” ujarnya.
![]()
Terdahulu, kehilangan pasangan Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan isterinya, Nurul Hidayah, 31, bersama empat anak mereka – Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haidar berusia enam bulan terjawab apabila kesemua mereka ditemukan lemas di dalam kereta yang tenggelam di dasar Sungai Korok selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Putri Qisya yang tidak turut serta dalam perjalanan itu kerana tinggal bersama neneknya di Jerlun kini menjadi satu-satunya waris yang masih hidup daripada keluarga tersebut.
Kredit: Instagram nurul.zahid