Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi seorang wanita warga India yang terperangkap dalam tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India telah dihentikan serta-merta selepas memasuki hari kesembilan.
Pencarian Dihentikan Atas Faktor Keselamatan
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, keputusan ini dibuat atas faktor keselamatan pasukan penyelamat, termasuk risiko arus deras dan ancaman mendapan kedua.
Pelbagai kaedah pencarian seperti teknik ‘flushing’, ‘jetter’, radar pengesan bawah tanah (GPR), kamera, dan alat robotik telah digunakan dalam usaha pencarian tersebut.
Namun, dapatan daripada pasukan penyelamat, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mengesahkan bahawa risiko kepada anggota di lokasi adalah terlalu tinggi untuk operasi diteruskan.
Dr. Zaliha menegaskan bahawa keselamatan awam di kawasan tersebut akan terus diberi keutamaan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarahkan untuk menjalankan pemetaan utiliti, kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur, serta kerja pembaikan di kawasan terjejas.
Kawasan antara Pintu Gerbang dan Pasaraya Mydin sejauh 100 meter akan ditutup kepada pengunjung bagi memastikan keselamatan dan kelancaran kerja pemulihan.
Beliau juga menyatakan bahawa laporan penuh mengenai tragedi ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, dan orang ramai diingatkan untuk mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa.
Dr. Zaliha turut mengesahkan bahawa keseluruhan Kuala Lumpur berada dalam keadaan selamat dan langkah-langkah keselamatan akan dipantau secara berkala bersama pakar geologi.
Kredit: Harian Metro