Sudah lebih 72 jam berlalu, namun operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India iaitu Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam lubang lapan meter akibat mendapan tanah di Jalan Masjid India masih menemui jalan buntu.
Mangsa Tanah Jerlus Masih Tidak Ditemui, Operasi SAR Masih Berjalan
Memetik laporan Buletin TV3, operasi SAR yang dijalankan sejak pagi hari ketiga melibatkan 104 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi keselamatan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta Indah Water Konsortium (IWK).
Meskipun usaha pencarian di lima daripada enam lurang kumbahan IWK telah dilakukan, tiada petunjuk baharu ditemui. Sehubungan itu, mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, memutuskan untuk meneruskan teknik ‘flushing’ di dua lokasi iaitu berhampiran Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar dan Bulatan Kinabalu, yang dipercayai menghadapi sekatan atau runtuhan puing yang melambatkan arus.
Operasi ini terus berjalan di bawah seliaan IWK, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan jaminan bahawa SAR akan diteruskan sehingga mangsa ditemukan. Ketua Polis Daerah Dang Wangi iaitu Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, turut menegaskan tiada tempoh pencarian ditetapkan.
Di sebalik usaha SAR yang berterusan, lebih 800 penghuni 160 unit di Flat Malayan Mansion, yang terletak kurang 50 meter dari lokasi insiden meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
Bagaimanapun, Maimunah memberi jaminan bahawa kawasan Kuala Lumpur termasuk Jalan Masjid India adalah selamat dan menafikan sebarang ancaman insiden ‘giant sinkhole’. Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan khas yang melibatkan Jabatan Geologi dan Jabatan Kerja Raya telah ditubuhkan untuk memantau keadaan tersebut.
Kredit: Buletin TV3