Seorang lelaki kelainan upaya (OKU), Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali sebagai Paijang, berpeluang menunaikan umrah buat kali pertama selepas menerima tajaan daripada Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd.
Paijang Tunaikan Umrah Bersama Dua Anak, Doakan Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga
Paijang, yang sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai selepas insiden yang menimpanya, berangkat ke tanah suci bersama dua anaknya, Nurul Farhana, 21, dan Ahmad Faris, 10. Mereka dilaporkan tiba dengan selamat di Mekah semalam untuk menunaikan ibadah umrah.
Menurut laporan Sinar Harian, mereka bertolak ke tanah suci pada awal pagi Isnin dengan penuh rasa syukur dan teruja. Paijang mengakui bahawa ini merupakan pengalaman pertamanya ke luar negara, sekali gus menjadi detik bermakna buat dirinya dan anak-anak.
“Saya sangat bersyukur diberikan peluang ini. Ini pertama kali saya menjejakkan kaki ke luar negara, apatah lagi untuk menunaikan umrah. Saya berharap agar diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di tanah suci serta berdoa agar Allah mengurniakan kesejahteraan kepada saya dan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, isterinya, Faridah Abdul Karim, 44, dan seorang lagi anaknya, Mohd Fakhrie, 19, tidak dapat menyertai perjalanan itu atas beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.
Momen keberangkatan mereka turut dikongsikan oleh Andalusia Travel and Tours di laman Facebook syarikat tersebut, yang menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet. Rata-rata meluahkan rasa gembira melihat Paijang dan anak-anaknya berpeluang menunaikan ibadah di tanah suci.
Semoga perjalanan umrah mereka dipermudahkan dan doa yang dipanjatkan di tanah suci dimakbulkan Allah SWT.
Kredit: Sinar Harian