Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, membuka dimensi baharu apabila pakar patologi forensik tampil menjelaskan faktor persekitaran di lokasi kejadian tidak menyokong kemungkinan arwah terjatuh secara tidak sengaja dari tingkat tiga asrama sekolah.

Pakar Patologi Dedah Arwah Zara Qairina Mustahil Terjatuh Secara Tidak Sengaja Dari Tingkat Tiga

Menurut keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Dr Jessie Hiu dari Hospital Queen Elizabeth berkata kedudukan pagar konkrit dan palang besi di lokasi kejadian terlalu tinggi untuk menyebabkan arwah boleh jatuh dengan mudah.

“Ketinggian dari lantai ke palang besi mendatar paling atas pagar konkrit tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm). Manakala, ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm.

“Ini bermakna palang besi melepasi tiga perempat daripada ketinggian si mati dan berada di atas pusat graviti badannya. Oleh itu, tidak logik jika arwah boleh terjatuh atau ditolak begitu sahaja ketika berdiri di tepi pagar,” katanya.

Beliau turut mengesahkan pemeriksaan toksikologi tidak menemukan sebarang bahan terlarang, namun ubat jenis Phenytoin dikesan pada tisu buah pinggang. Ubat berkenaan lazimnya digunakan bagi merawat pesakit epilepsi atau diberikan kepada individu yang mengalami kecederaan otak untuk mengurangkan risiko sawan.

Dalam masa sama, hasil pemeriksaan lanjut terhadap sampel tubuh termasuk kuku, hati, buah pinggang dan calitan pada bahagian sulit mendapati tiada kesan koyakan, lebam atau kecederaan, malah selaput dara mangsa juga berada dalam keadaan utuh. Laporan penuh turut disediakan berdasarkan pemeriksaan lokasi kejadian, bedah siasat, rekod perubatan serta analisis imbasan.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina dijadualkan bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September ini.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]