Seorang pemandu lelaki dicekup dan ditahan oleh orang awam selepas didakwa melawan arus dan merempuh beberapa buah kenderaan dalam kejadian di Jalan Kebun, Klang, Selangor pada Jumaat.

Terlibat Dalam Kemalangan Terlebih Dahulu Sebelum Larikan Diri Kerana Ketakutan

Menurut laporan Berita Harian, difahamkan pemandu terbabit terlebih dahulu terlibat dalam kemalangan kecil dengan seorang penunggang motosikal, sebelum bertindak melarikan diri kerana ketakutan.

Ketua Polis Klang Selatan iaitu Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut berlaku akibat pertengkaran mulut apabila penunggang terbabit mengancam untuk merosakkan kenderaan lelaki tersebut.

“Akibat terlalu takut, pemandu Satria itu memecut laju sehingga ke laluan Jalan Raja Nong, Klang dan bergesel dengan sebuah motosikal, namun terus melarikan diri selepas dikejar kedua-dua penunggang terbabit.

“Suspek kemudiannya memandu secara melawan arus dan dalam situasi itu, dia merempuh beberapa kenderaan di bahu jalan sebelum bertindak terjun ke dalam parit,” jelasnya.

Beliau turut menambah, semasa di dalam parit, individu berkenaan dibaling dengan beberapa objek keras, namun berjaya dileraikan selepas pihak polis tiba di lokasi kejadian.

Selain Proton Satria berwarna merah yang dipandu suspek, insiden itu turut mengakibatkan sebuah lori mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sehingga boleh mendatangkan kecederaan terhadap orang lain dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]