Lima bulan selepas kehilangan anak yang dinantikan selama 13 tahun, pasangan Mejar Mohd Fikry Amry Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini menerima satu berita yang mengubat hati mereka.

Tanpa disangka, penderitaan yang mereka lalui mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang berkenan menawarkan mereka rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) menerusi Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Pasangan Kehilangan Anak Akibat Didera Terharu Terima Tawaran Rawatan IVF Daripada Tengku Ampuan Pahang

Mohd Fikry, 40, mengakui beliau dan isterinya amat terkejut apabila menerima panggilan daripada pegawai baginda pada awal Januari lalu, memaklumkan mengenai tawaran istimewa itu. Baginya, ini adalah satu rezeki besar selepas kehilangan anak lelaki mereka yang baru berusia lapan bulan akibat dipercayai didera oleh pengasuh di sebuah taska di Melaka, September lalu.

“Kami tidak pernah terfikir bahawa kes ini akan mendapat perhatian daripada Tengku Ampuan Pahang. Tawaran rawatan IVF ini benar-benar memberikan sinar harapan buat kami untuk kembali bergelar ibu dan bapa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Rawatan IVF kepada 65 pasangan yang berlangsung hari ini.

Bagi Sabrina, walaupun masih merasai kehilangan anak sulung mereka, dia berharap rawatan IVF ini akan berjaya dan memberi peluang untuk mereka menimang cahaya mata sekali lagi.

 

“Selepas kejadian itu, kami memang sangat sedih dan terkejut, tetapi Alhamdulillah, Allah berikan kami kekuatan untuk menghadapinya. Kami juga sangat bersyukur kerana tidak perlu melalui proses permohonan seperti pasangan lain untuk mendapatkan rawatan ini. InsyaAllah, rawatan akan dijalankan di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Tunku Azizah dalam titahnya menzahirkan rasa syukur kerana sejak TAFF ditubuhkan pada 2005, seramai 143 bayi telah dilahirkan hasil daripada rawatan IVF yang diberikan kepada 120 pasangan.

Menurut baginda, yayasan itu menerima lebih 500 permohonan sejak 2020 hingga 2024, namun hanya 65 pasangan yang memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Segala usaha ini perlu disertai doa dan kesabaran. Saya sendiri pernah menjalani rawatan IVF sebanyak 17 kali sebelum dikurniakan cahaya mata. Jangan berputus asa, insyaAllah usaha anda semua akan membuahkan hasil,” titah baginda.

Terdahulu, kes kematian anak pasangan ini mencetuskan kemarahan ramai selepas Mohd Fikry mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pengasuh taska menyumbat botol susu ke dalam mulut bayi mereka, menutup wajahnya dengan kain, dan menekupnya dengan bantal.

Lebih memilukan, isterinya terpaksa membawa sendiri bayi itu ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, mulut berdarah dan wajah kebiruan selepas menerima panggilan daripada pihak taska. Bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian bayi mereka, Al Fateh, adalah akibat lemas.

Kredit: BERNAMA

 

 

[fbcomments]