Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dilaporkan telah menjadi mangsa dera selepas badan mereka berdua ditemukan kesan luka dan lecur akibat penderaan menggunakan seterika, batang besi dan air panas.
Pasangan Suami isteri Ditahan
Menurut laporan Berita Harian, polis telah menahan sepasang pasangan suami isteri selepas disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki terbabit hingga mendatangkan kecederaan yang serius.
Ketua Polis Daerah Keningau iaitu Superintendan Yampil Anak Garai, beliau memaklumkan bahawa kejadian tersebut disedari oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika mangsa yang berusia 13 tahun menjual burger di sebuah premis pada jam 12 tengah hari, 2 Mac yang lalu.
Katanya, lelaki tersebut menyedari terdapat kesan luka seperti kesan terkena seterika pada badan kanak-kanak terbabit yang disyaki telah didera.
“Menyedari keadaan mangsa seperti didera, dia kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau, petang tadi (semalam). Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger,” jelasnya.
Siasatan lanjut turut mendapati seorang lagi mangsa lelaki berusia lima tahun juga didera oleh kedua-dua suspek.
“Mangsa berusia 13 tahun itu adalah anak tiri kepada suspek wanita. Kedua-dua mangsa tiada sebarang talian persaudaraan dan dipelihara oleh kedua-dua suspek. Manakala mangsa berusia lima tahun adalah anak angkat kedua-dua suspek,” katanya lagi.
Kedua-Dua Suspek Mempunyai Jenayah Lampau Berkaitan Dadah
Tambah Yampil lagi, difahamkan kejadian dera itu dipercayai berlaku di rumah sewa suspek antara 24 Mac 2024 hingga 30 Mac 2024.
“Mangsa berusia 13 tahun dipercayai didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering. Kejadian itu dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger.
“Selain itu, mangsa turut dipukul menggunakan kayu dan batang besi pada belakang badan manakala mangsa berusia lima tahun disiram menggunakan air panas di atas lantai. Mangsa juga dipaksa berdiri di atas air panas hingga kedua-dua kakinya melecur. Selain itu mangsa turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya.
“Mangsa turut ditekap dengan seterika oleh suspek wanita pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badan hanya kerana lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur,” katanya.
Kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkaitan dadah dan mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kredit: Berita Harian