Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating apabila lebih 100 ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada pasangan suami isteri yang lemas selepas bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik di perairan Merchang.
![]()
Pasangan Suami Isteri Lemas Dikebumikan Dalam Satu Liang, Anak Nekad Berhenti Kerja Demi Jaga Adik
Jenazah Abdul Rahim dan isterinya, Norhasriah, selamat dikebumikan dalam satu liang bersebelahan pusara ibu Abdul Rahim sekitar jam 2.40 petang Isnin, selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Pulau Kerengga.
Pasangan itu meninggalkan enam anak berusia antara 15 hingga 26 tahun. Anak ketiga, Nur Nabilah, 23, yang sebelum ini bekerja dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Subang Jaya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan demi menjaga adik-adiknya sepenuh masa di kampung.
![]()
“Saya tidak sangka kepulangan kali ini bukan untuk bercuti, tetapi untuk menjaga mereka selepas kehilangan ayah dan ibu,” katanya.
Abang keduanya, Muhammad Aniq Arsyad, 24, yang juga pelatih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, berkongsi pesanan terakhir arwah bapanya agar menjaga adik-beradik kerana keluarga tidak mempunyai harta peninggalan.
“Pesanan itu kini benar-benar menjadi amanah untuk kami,” ujarnya dalam nada sebak.
![]()
Dalam insiden Ahad lalu, bot dinaiki pasangan tersebut terbalik kira-kira jam 3.30 petang ketika keluar menangkap ikan. Mayat Norhasriah ditemukan sejam kemudian, manakala Abdul Rahim ditemui tidak lama selepas itu.
Kredit: Harian Metro