Seorang murid lelaki berusia lapan tahun dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang hidung selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah pada 30 Julai lalu.

Murid Tahun Dua Cedera Patah Hidung, Dakwa Jadi Mangsa Buli di Sekolah

Mangsa, yang juga murid Tahun Dua, dibawa ibunya, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan selepas pulang ke rumah dalam keadaan hidung berdarah dan muka lebam.

Hasil pemeriksaan X-ray mengesahkan terdapat keretakan pada tulang hidung serta tulang berhampiran mata. Doktor kemudian menasihatkan agar kes dilaporkan kepada pihak polis sebelum merujuk mangsa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menjalani prosedur membetulkan semula tulang hidung.

Menurut Rifka, kejadian itu dipercayai berlaku ketika waktu pertukaran kelas Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Mangsa yang berada di kelas lain didakwa dituduh merosakkan sarung meja hingga mencetuskan pergaduhan.

“Saya sudah ganti sarung meja itu dengan bayaran RM15, tetapi anak saya tetap dipukul beberapa murid, termasuk yang bukan dari kelas berkenaan. Ada yang memegang tangannya supaya tidak dapat melarikan diri, sebelum menolak dan menumbuknya sehingga terjatuh,” katanya.

Beliau mendakwa, anaknya pernah mengalami insiden serupa sebelum ini termasuk cedera di mata akibat dibaling batu pada Jun lalu, namun tidak membuat laporan ketika itu.

“Cukuplah sekali saya berdiam diri. Kali ini saya buat laporan kerana tidak mahu perkara sama berulang kepada murid lain,” tegasnya.

Pihak sekolah dilaporkan telah memanggil ibu bapa murid yang terlibat untuk berbincang. Ada yang tampil memohon maaf, namun masih terdapat beberapa pelajar yang belum dikenakan tindakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada ejek-mengejek. Kes telah dirujuk kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]