fbpx

Seorang lelaki berusia 35 tahun dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian yang berlaku di Kampung Banir Belikong, Selising, awal pagi Rabu. Mangsa yang bernama Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, terkena renjatan elektrik selepas memegang jeriji besi pintu rumahnya yang telah ditenggelami air banjir.

Maut Akibat Terkena Renjatan Elektrik, Kejadian Disaksikan Oleh Anak Lelaki

Menurut adik ipar mangsa, Siti Nur Aziana Bidin, 18, kejadian itu disaksikan oleh anak lelaki mangsa yang berusia sembilan tahun. Ketika itu, kanak-kanak tersebut sedang duduk di atas sofa sebelum melihat bapanya rebah selepas memegang jeriji besi pintu.

“Semasa kejadian anak saudara saya duduk di atas sofa, kemudian abang ipar yang kebetulan hendak masuk ke dalam rumah telah memegang jeriji besi pintu.

“Kemudian saya terdengar suara abang ipar menjerit dan rebah. Anak mangsa yang melihat kejadian itu kemudian telah memanggil neneknya meminta tolong,” kata Siti Nur Aziana.

Kejadian turut menyaksikan mayat mangsa dihanyutkan arus deras berhampiran rumahnya yang terletak di tepi sungai. Abang Siti Nur Aziana, Mohamad Nor Hazli Bidin, 39, bertindak berani mencari mangsa dengan meniti wayar paip getah yang diikat pada tiang rumah dan pokok.

Selepas usaha itu, sekitar jam 6 pagi, mayat mangsa akhirnya ditemukan berhampiran kawasan rumah, tidak lama selepas azan Subuh berkumandang.

Mayat Tuan Mohd Zakaria kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada aliran elektrik yang mengalir melalui jeriji besi akibat plag mesin basuh yang berada berhampiran lokasi tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria, mengesahkan menerima laporan mengenai insiden tersebut.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]