Sebuah pusat beli-belah di Setia Alam gempar apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dalam kejadian yang berlaku malam tadi. Seorang pekerja kebersihan dilaporkan cedera setelah terkena beberapa das tembakan dalam insiden berkenaan.

Video di bawah:

https://vt.tiktok.com/ZSMJWyvBP/

https://vt.tiktok.com/ZSMJWfULK/

Pekerja Kebersihan Cedera, Lelaki Bersenjata Lepaskan Tembakan di Pusat Beli-Belah Setia Alam Diburu

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti suspek, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah lain.

Polis kini sedang giat memburu suspek bagi tujuan tangkapan, sementara motif sebenar serangan masih dalam siasatan.

Menurut siasatan awal, kejadian berlaku sekitar jam 10.50 malam apabila mangsa tiba-tiba ditembak hingga mengalami kecederaan di bahagian kaki dan punggung.

Walaupun cedera, mangsa sempat melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek meloloskan diri ke tingkat P2 bangunan tersebut.

Suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung dengan mengacukan pistol sebelum memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan Shah Alam.

Bagaimanapun, ketika melalui lebuh raya, suspek mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan sebelum menghilangkan diri.

Kejadian ini mencetuskan panik dalam kalangan orang awam, terutamanya apabila video insiden berkenaan tular di media sosial, termasuk dakwaan berlakunya tembakan di sebuah kedai emas di pusat beli-belah tersebut.

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan, yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan. Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan suspek dapat ditahan secepat mungkin.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]