Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng yang dikenali sebagai Sim Hui Yi, 17, meninggal dunia secara mengejut selepas mengalami pendarahan otak, sehari sebelum dijadualkan menduduki ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas Hui Yi mengadu sakit kepala yang teruk pada malam Ahad, 2 Disember.
Pelajar Cemerlang Meninggal Dunia Akibat Pendarahan Otak
Menurut bapanya iaitu Shen Kang Xiang, anaknya tiba-tiba pengsan selepas mengadu kesakitan, menyebabkan mereka segera membawanya ke klinik berhampiran.
“Dia mengejutkan saya dan isteri pada jam 4 pagi. Dia menangis kesakitan sambil menggeliat di atas katil, tetapi tidak mampu bercakap,” katanya.
Setelah dirujuk ke Hospital Batu Pahat, pemeriksaan mendapati saluran darah di otaknya pecah menyebabkan pendarahan dalaman yang serius. Hui Yi koma sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Kang Xiang berkata, pada awalnya dia menyangka anaknya hanya mengalami tekanan akibat persiapan menghadapi SPM.
Bagaimanapun, imbasan perubatan menunjukkan remaja itu mengalami cerebrovascular accident (CVA), yang menyebabkan strok secara tiba-tiba.
“Guru sekolah turut memaklumkan Hui Yi kelihatan pucat sepanjang minggu sebelum kejadian, tetapi dia tidak pernah mengadu sebarang masalah kesihatan,” tambahnya.
Hui Yi, seorang pelajar yang cemerlang, baru-baru ini mencatat keputusan membanggakan dalam peperiksaan percubaan SPM dengan memperoleh 10A dan 1B.
Bapanya menggambarkan mendiang sebagai seorang anak yang patuh, berbudi pekerti, dan berdisiplin tinggi.
Kredit: Harian Metro, FB SMK Yong Peng -Pibg