fbpx

Baru-baru ini, tular satu berita di mana dua orang pelajar Malaysia yang belajar di New Zealand telah maut akibat kemalangan di Lake Tekapo pada jam 1.45 tengah hari, waktu tempatan.

Terbaharu, ibu kepada Megat Ashman Aqif (salah seorang mangsa terkorban) mendedahkan bahawa anaknya itu sempat menghadiahkan kepadanya kek dan telekung sempena hadiah ulang tahun.

Sempat Hadiahkan Kek Dan Telekung

Memetik laporan Harian Metro, ibu mangsa iaitu Noor Aishah Abdul Latif memaklumkan bahawa anaknya yang mesra disapa sebagai Qif sempat memberikan hadiah kejutan untuknya pada 12 Mac yang lalu dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Arwah buat kejutan, dia hantar kek dan telekung. Saya kata, ‘Mahal (hadiah) ini Qif, jauh-jauh simpan duit banyak nak pakai kat saya’. Dia jawab, ‘tak mengapa ibu, tak mengapa’. Baru ini dia beritahu, ‘Aqif ada kirim duit sikit dekat ibu’. Saya kata, ‘Kenapa Aqif bagi dekat ibu? Sepatutnya ibu yang bagi pada Aqif’.

Dia kata, ‘Aqif nak berkat, ibu doakan Aqif ya’. Dia memang anak yang baik, apa-apa dia akan jawab, ‘Ya ibu… Ya ibu.’ Arwah hubungi saya pada Selasa lalu menerusi panggilan video di WhatsApp. Dia kata akan menduduki peperiksaan pada Khamis dan minta saya doakan dia,” katanya.

Kali Terakhir Bertemu Pada Julai Tahun Lepas

Tambah Aishah lagi, kali terakhir beliau dan anaknya bertemu adalah pada bulan Julai tahun lepas ketika menghantar Qif ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambung pengajiannya dalam bidang perdagangan di University of Canterbury.

“Arwah rajin bersembang (dengan saya). Sepanjang belajar di sana, dia hubungi saya setiap minggu dan bercerita aktivitinya. Kadang-kadang hampir sejam kami bersembang jadi, kita tak rasa dia jauh Sedih, Allah pinjamkan dia selama 21 tahun dan ambil semula dia dalam bulan Ramadan,” luahnya.

Dalam pada itu, Noor Aishah memaklumkan bahawa dirinya mengetahui mengenai berita kehilangan anaknya itu daripada suaminya, Megat Irman Jefni Megat Khas Hussaini kira-kira 11 pagi Sabtu.

Terdahulu, Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington mengesahkan lima pelajar Malaysia terlibat dalam kemalangan di Lake Tekapo pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia iaitu Wan Nur Adlina Alisa disahkan turut maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi pelajar iaitu Nur Firas Wafiyyah, Lya Issable Walton dan Muhamad Faris Mohd Fairusham mengalami kecederaan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]