Seorang pelajar perempuan tingkatan satu telah ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolahnya yang terletak di Durian Daun, Melaka pada Khamis, petang.
Tukang Kebun Sekolah Yang Temui Mayat
Menurut sumber yang dipetik dari Harian Metro, pelajar terbabit merupakan Orang Asli yang berusia 13 tahun, dan mayatnya ditemui oleh tukang kebun sekolah dalam keadaan tertiarap di atas jalan sebelum memaklumkan tragedi itu kepada guru.
Berdasarkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit menjelaskan pihaknya menerima laporan tragedi itu daripada guru sekolah terbabit pada jam 2.30 petang. “Siasatan awal mendapati bangunan kelas sekolah mempunyai tiga tingkat dan mangsa belajar di kelas tingkat dua. Kejadian dipercayai berlaku di tingkat dua bangunan sekolah itu, memandangkan kasut mangsa ada ditinggal di kaki lima tingkat terbabit”, jelas Christopher ketika dihubungi pihak Harian Metro.
Motif Kejadian Masih Disiasat
Beliau juga berkata polis mendapati mangsa yang berpakaian sukan sekolah hanya berstokin tanpa kasut serta dalam keadaan tertiarap di jalan dan berdarah di kepala. Setakat ini, ia dikatakan tiada saksi yang melihat kejadian tersebut dan siasatan tidak menjumpai kesan perbuatan jenayah.
“Polis masih menyiasat motif kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat”, jelasnya.
Kredit: Harian Metro