Tindakan pantas seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyelamatkan seorang remaja perempuan yang hampir lemas selepas kereta dinaikinya tenggelam di Tasik UNIMAS pagi semalam mendapat pujian ramai.

Pelajar UNIMAS Selamatkan Remaja Hampir Lemas, Ibu Maut Dalam Kereta Tenggelam di Tasik

Pelajar berkenaan, Ahmad Nur Irfan Amirrudin, 22, yang mengikuti jurusan Kerja Sosial dan merupakan Pegawai Kadet Kor SISPA UNIMAS, nekad terjun ke dalam tasik selepas melihat seorang remaja cuba menyelamatkan diri dari sebuah kenderaan yang hampir tenggelam.

Menurut Irfan, ketika kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, dia bersama dua rakannya berada di kawasan tasik bagi mencari lokasi ‘checkpoint’ program universiti sebelum terlihat sebuah kenderaan berwarna biru di tengah tasik.

“Waktu tersebut dalam jam 10.30 pagi, kami terlihat ada sebuah kereta warna biru di tengah-tengah tasik. Kawan-kawan saya hubungi Polis Bantuan dan saya terus selamatkan sebab saya nampak ada budak yang keluar daripada kereta tersebut. Jadi saya terus pergi ke budak tersebut dan tarik dia ke darat,” katanya.

Usaha pantas Irfan itu turut dibantu oleh latihan kecemasan yang pernah diterimanya menerusi Pusat Kawalan Operasi UNIMAS (PKOT) dan Kor SISPA.

Pihak universiti dalam kenyataan memaklumkan bahawa keberanian Irfan menyelamatkan mangsa amat dihargai dan disifatkan sebagai tindakan seorang wira.

“Hari ini, Ahmad Nur Ifan bin Amirrudin, pelajar jurusan Kerja Sosial daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UNIMAS menjadi seorang wira apabila berjaya menyelamatkan salah seorang mangsa kemalangan yang berlaku di tasik UNIMAS.

“UNIMAS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Irfan dan semua orang awam yang terlibat dalam operasi menyelamat pagi tadi,” ujar kenyataan pihak universiti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin mengesahkan bahawa mangsa yang maut dalam insiden berkenaan ialah pemandu kereta jenis Perodua Axia, Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50, yang juga ibu kepada remaja tersebut.

Remaja perempuan berusia 17 tahun itu dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Kredit: Facebook UNIMAS

 

 

[fbcomments]