Seorang pelakon wanita bersama suaminya sekali lagi ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berkaitan satu lagi kes penipuan, kali ini melibatkan skim pelaburan penjualan lembu. Tangkapan tersebut dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
![]()
Polis Tahan Semula Pelakon Wanita dan Suami Berkaitan Kes Penipuan Pelaburan Lembu
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sebelum ini, pasangan berkenaan dilaporkan telah ditahan berhubung kes penipuan melibatkan urusan penjualan tanah kurnia. Selain itu, mereka juga disiasat berkaitan satu lagi kes penipuan membabitkan darjah kebesaran yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM23,000. Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, laporan mengenai kes tersebut diterima pada 18 Disember tahun lalu.
![]()
Difahamkan, pelakon wanita itu sebelum ini diberkas di lokasi persembunyiannya di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada Rabu lalu. Penahanan tersebut dibuat selepas seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis mendakwa dirinya ditipu dalam urusan mendapatkan lot tanah kurnia di Selangor sehingga mengalami kerugian mencecah RM1.5 juta.
Dalam masa yang sama, seorang usahawan produk kecantikan turut tampil mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan oleh pelakon wanita terbabit bersama suaminya. Usahawan itu mendakwa kerugian yang dialaminya mencecah ratusan ribu ringgit, sekali gus menambah lagi senarai dakwaan terhadap pasangan tersebut yang kini berada di bawah siasatan pihak berkuasa.
Kredit: Harian Metro