Baru-baru ini, seorang pemain bola sepak amatur bukan sahaja mengejutkan ramai dengan membawa kerambit ke padang, tetapi kini dia juga disahkan sebagai suspek dalam kes baling bom petrol di sebuah pusat hiburan pada Mei lalu.
Suspek Adalah Individu “Wanted”
Ketua Polis Kuala Lumpur iaitu Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan bahawa lelaki berusia 22 tahun tersebut akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur dalam masa terdekat atas kedua-dua tuduhan ini.
“Dia ini ada ‘wanted’ (dalam senarai dikehendaki) satu kes, kes baling molotov cocktail di depan pusat hiburan, inilah orangnya. (Suspek) ini pun akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, suspek orang sama,” katanya.
Menurut siasatan, suspek memiliki rekod jenayah lampau, dan bukti yang dikumpul termasuk rakaman CCTV dan kenyataan saksi mengaitkannya dengan kedua-dua kes jenayah tersebut.
Tambah Rusdi lagi, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini dan bakal didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas perbuatan membaling bom petrol serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana mengacukan senjata tajam semasa perlawanan bola sepak.
Pertuduhan tambahan juga mungkin dikenakan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa dan keselamatan orang lain.
Kredit: Buletin TV3