Seorang pemandu bas ekspres bertindak meninggalkan kenderaannya di tepi jalan ketika pemeriksaan Ops Bersepadu di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, malam semalam.
Insiden yang berlaku sekitar jam 10.30 malam itu menyebabkan kesesakan di laluan masuk kawasan hentian tersebut.
Pemandu Bas Larikan Diri, Risau Ujian Air Kecing Tak Lepas
Bas yang membawa 11 penumpang itu dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur, menuju ke Terminal Bas Sungai Nibong, Pulau Pinang, ditahan untuk pemeriksaan oleh pihak berkuasa.
Namun, pemandu bas itu berhenti di tepi jalan dan melarikan diri sebelum pemeriksaan sempat dilakukan.
Ketika pemeriksaan ke atas bas tersebut, pihak berkuasa menemukan alat dipercayai digunakan untuk membakar dadah jenis syabu, atau lebih dikenali sebagai bong, di dalam beg di tempat duduk pemandu. Susulan penemuan itu, pihak berkuasa kini giat mengesan pemandu terbabit untuk tindakan lanjut.
Menurut sumber polis, bas ekspres tersebut adalah antara empat bas yang diperiksa dalam operasi berkenaan. Selain itu, pemeriksaan turut melibatkan 145 lori dan enam van, dengan pelbagai kesalahan berjaya dikesan.
“Sebanyak 61 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Selain itu, tujuh notis dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada pemandu yang melanggar peraturan,” kata jurucakap operasi tersebut.
Operasi bersepadu ini diadakan untuk memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan kenderaan perdagangan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Pihak berkuasa turut menyeru semua pengendali bas dan lori untuk memastikan pemandu mereka mematuhi peraturan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Kredit: Sinar Harian