Baru-baru ini tular satu kejadian di mana seorang pemandu e-hailing berbangsa Cina telah memperlekehkan agama Islam di hadapan pelancong dari England sehingga mendapat kecaman hebat dari masyarakat Melayu.
Terbaharu, polis kini sedang siasat video tular berkenaan akibat mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap Islam dan negara kepada orang luar.
Polis Siasat Video Tular
Berdasarkan laporan Bernama, Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 49 tahun yang menyaksikan video berkenaan di laman TikTok di rumahnya di Kempas Baharu, Johor Bahru pada Selasa.
“Hasil siasatan mendapati video terbabit dimuat naik pada kira-kira 7 malam semalam dengan mengeluarkan kenyataan sensitif.
“Semakan akan dibuat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan butiran pemilik akaun serta mengenal pasti pemandu e-panggilan itu,” katanya.
Kes bakal disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, seorang pelancong asing telah memuat naik sebuah video yang memperlihatkan dirinya menaiki kereta e-hailing menuju ke suatu destinasi sambil berbual mesra dengan pemandu kenderaan tersebut. Namun, kemarahan netizen tercetus apabila pemandu e-hailing itu mula mengeluarkan kata-kata menghina dan memperlekehkan agama Islam di hadapan pelancong tersebut.
“Disini kita sepatutnya boleh enjoy tapi ini adalah negara Islam, mereka mahu kita ikut cara agama mereka..itu sangat tidak adil betul tak? Sebab mereka tidak minum (arak), berjudi, jadi mereka haramkan arak dan judi. Tiada hiburan. Hidup macam dalam gua. Tinggal jelah dalam hutan tu, main Jumanji dan haiwan.
“Saya tak faham pemikiran bullsh*t rakyat Malaysia ni. Awak lahir kat dunia ni jadi enjoy jelah,” kata pemandu terbabit.
Kredit: Bernama