Seorang pemandu dilaporkan nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah berjenama BMW yang dipandunya terbakar secara tiba-tiba di jalan besar Sungai Nipah, Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor pada Ahad.
Video di bawah:
https://www.facebook.com/watch/?v=1578534569671018&t=0
Asap Keluar Dari Dashboard Sebelum Kereta Terbakar Secara Tiba-Tiba
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor iaitu Ahmad Mukhlis Mukhtar, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.02 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi.
Kejadian tersebut sempat dirakam oleh orang awam yang turut berada di lokasi kejadian sebelum ianya dimuat naik di laman Facebook pada hari yang sama.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa berusia 46 tahun yang memandu BMW X5 menyedari asap keluar dari bahagian ‘dashboard’ sebelum bertindak memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.
“Dalam pada itu, kereta tersebut tiba-tiba terbakar. Pemandu berkenaan bagaimanapun berjaya menyelamatkan dirinya dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran.
“Kereta tersebut dianggarkan musnah 95 peratus,” ujarnya.
Kredit: Harian Metro