Seorang lelaki yang juga merupakan pemandu lori didapati mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang bayi perempuan berusia satu tahun dalam kejadian di Pasir Tumbuh Limbat, 26 Jun lalu.
Pemandu Lori Mengaku Bersalah
Berdasarkan laporan Harian Metro, difahamkan tertuduh iaitu Mohamad Zulazhar Ibrahim, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual terhadap bayi perempuan yang berusia satu tahun 11 bulan.
Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes dan prosiding jatuh hukum. Difahamkan, isteri tertuduh merupakan pengasuh yang menjaga bayi tersebut.
Kredit: Harian Metro