fbpx

Seorang ahli farmasi yang bekerja di sebuah hospital swasta dilaporkan maut, manakala rakannya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di Jalan Sidam, Sungai Petani, Kedah pada Rabu malam.

Video di bawah:

https://www.facebook.com/1712990060/videos/368627102887261/

Seorang Maut, Seorang Lagi Cedera Parah Selepas Kereta Dirempuh Lori

Menerusi laporan Majoriti Official, difahamkan mangsa yang maut di tempat kejadian bernama Siti Aisyah Idris, 23, memandu kenderaan jenis Toyota Yaris, manakala seorang penumpang wanita dilaporkan cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda iaitu Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.30 malam.

Dikatakan ketika kejadian, Siti A’isyah dan rakannya dipercayai dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Kulim.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, lori tersebut dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, lori terbabit bertembung dengan kereta yang dinaiki dua wanita berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azharuddin turut memaklumkan pertembungan tersebut menyebabkan penumpang kereta terbabit mengalami kecederaan manakala pemandu kenderaan terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu Lori Positif Dadah

Sementara itu, hasil siasatan ke atas pemandu lori terbabit mendapati dia positif beberapa jenis dadah.

“Pemandu lori berusia 31 tahun itu ditahan selepas ujian saringan air kencing terhadapnya didapati positif methamphetamine, amphetamine dan morfin dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan 1987 dan wanita yang cedera itu kini dilaporkan stabil dan dirawat di HSAH,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan rakaman dashcam yang dikongsikan, penunggang motosikal tersebut dipercayai tidak menyalakan lampu motornya hingga menyebabkan pemandu lori terbabit terkejut sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]