Seorang lelaki yang juga merupakan pemandu van kilang dilaporkan maut, manakala penumpang hadapan van mengalami kecederaan parah selepas van yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah treler di Jalan Sungai Labu Atas, Tanjung Piandang pada Selasa.
Van Rempuh Treler Yang Sedang Mengundur Untuk Masuk Ke Bahu Jalan
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian iaitu Superintendan Juna Yusoff, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.20 pagi. Katanya, siasatan mendapati terdapat kemalangan berlaku yang melibatkan treler jenis Volvo dan sebuah van jenis Placer-X-A4.
“Siasatan awal mendapati treler yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun itu dari arah Parit Buntar menuju ke Tanjung Piandang manakala van kilang berkenaan dari arah bertentangan. Difahamkan kejadian berlaku ketika treler berkenaan dalam keadaan mengundur untuk ke memasuki bahu jalan sebelah kanan dan ketika itu datang van terbabit dan merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler.
“Akibat kejadian itu pemandu lelaki berusia 36 tahun maut di lokasi kejadian manakala penumpang wanita yang berada di hadapan berusia 28 tahun mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki kanan,” katanya.
Keluarkan Mayat Guna Peralatan Khas
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon memberitahu pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus mereka menerima panggilan kecemasan berhubung insiden.
“Komander operasi telah melaksanakan dan mengaplikasikan konsep penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Anggota Bomba BBP Kuala Kurau telah menggunakan peralatan penyelamatan khas dalam operasi itu,” ujarnya.
Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
Kredit: Majoriti Official