Tindakan seorang pemandu van sekolah yang didakwa tidak memberhentikan kenderaannya ketika mengambil serta menurunkan pelajar membawa padah apabila dia ditahan polis susulan rakaman video tular di media sosial.
![]()
Video di bawah:
https://x.com/mynewshub/status/1957977737173561701?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Pemandu Van Sekolah Ditahan Polis Gara-Gara Tidak Berhenti Ambil Pelajar
Dalam rakaman dashcam berdurasi singkat itu, kelihatan seorang murid sekolah rendah berseragam lengkap turun daripada van yang bergerak perlahan sebelum seorang lagi pelajar masuk ke dalam kenderaan berkenaan.
Lebih merisaukan, murid terbabit turut dilihat mengangkat beg sekolah berat sambil cuba meletakkannya ke dalam van sebelum kembali masuk, walaupun van tersebut tidak berhenti sepenuhnya.
Kejadian dipercayai berlaku pada Selasa, 19 Ogos, kira-kira jam 12.53 tengah hari. Video tersebut kemudian dimuat naik ke media sosial sekitar jam 5.43 petang dan segera mengundang perhatian ramai kerana membahayakan nyawa kanak-kanak yang terlibat.
![]()
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, susulan siasatan lanjut, pihaknya berjaya mengesan pemandu van terbabit, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun, sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, pemandu berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Naazron turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan mengenai insiden itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Insp. Ahmad Zahrein, di talian 017-3818422.
Beliau pada masa sama menasihati semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu pengangkutan awam sekolah, agar mengutamakan keselamatan pelajar dan mematuhi undang-undang trafik bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.
Kredit: X mynewshub