Seorang pembantu rumah warga Indonesia terpaksa menghadapi pengalaman hitam selepas dipercayai tidak dibayar gaji dan dikurung di balkoni oleh majikan setiap kali selesai tugasan sejak seminggu lalu.

Terpaksa Minta Bantuan Melalui Sekeping Nota

Difahamkan mangsa yang berusia 21 tahun itu terpaksa meminta bantuan melalui sekeping nota selepas dirinya dikurung di balkoni sebuah kondominium di Petaling Jaya, Selangor. Mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat selepas berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa kira-kira jam 5 petang, Ahad.

Menurut laporan Kosmo!, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menyerbu sebuah unit kondominium di Mutiara Damansara, pada hari sama.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman iaitu Senior Asisten Komisioner Soffian Santong memaklumkan bahawa siasatan mendapati mangsa dipercayai baru sahaja bekerja dengan majikannya sejak seminggu lalu.

“Siasatan awal mendapati mangsa hanya diberikan balkoni untuk ruang tidur, bukan bilik. Mangsa hanya diberi bantal dan tilam dan dia menderita setiap kali hujan.

“Mangsa mendakwa, tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barangan dalam rumah berkenaan dan pintu balkoni juga dikunci dari dalam,” katanya pada Isnin.

Sering Dimarah Majikan Dan Tidak Tahu Berapa Nilai Gajinya

Soffian Santong turut memberitahu mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah antara jam 5 pagi dan 11 pagi apabila diarah untuk membersihkan unit tersebut. Mangsa juga dikatakan tidak menerima gaji sejak bekerja seminggu lalu dan tidak tahu berapa nilai gajinya.

“Mangsa mendakwa, diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari selain sentiasa dimarahi oleh majikannya itu.

“Keadaan mangsa diketahui apabila dia menulis sekeping nota untuk meminta bantuan dan melemparkannya dari balkoni,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]