Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang bernilai RM20 billion untuk mengurangkan beban rakyat dalam menempuh situasi COVID-19 serta membantu memacukan semula ekonomi negara.
Geran khas prihatin 3.0
Antara yang menarik perhatian ramai ialah Geran Khas Prihatin 3.0 yang akan diteruskan oleh kerajaan bagi membantu perusahaan mikro dan PKS. Kesemua perusahaan mikro dan PKS yang layak bakal menerima bantuan daripada kerajaan secara ‘one-off’ yang bernilai sehingga RM1000. Permohonan GKP 3.0 akan dilaksanakan bermula 1 April.
RM300 untuk peranti digital
Jika sebelum ini kerajaan telah menyediakan sebanyak RM180 subsidi pembelian telefon kepada semua penerima BPR yang layak.
Semalam, sekali lagi kerajaan berbesar hati untuk menambah jumlah tersebut kepada RM300.
Peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada RM2 bilion dan insya-Allah, akan dilancarkan pada awal Mei. Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota tambahan.
Perkhidmatan jalur lebar 5G dijangka akan mula beroperasi secara berperingkat bermula pada hujung tahun ini.
RM500 untuk B40 yang hilang kerja
Kerajaan turut memberi bantuan tunai sebanyak RM500 secara ‘one-off’ kepada golongan B40 yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19.
Selain itu, bayaran tambahan sebanyak RM500 akan diberikan kepada penerima BPR yang berpendapatan RM1000 ke bawah.
Bantuan beli barang dapur
Peruntukan sebanyak RM100 juta akan disediakan bagi program bantuan beli barangan dapur melalui inisiatif bantuan pembelian secara tanpa tunai.
Program ini dijangka memberi manfaat kepada 300,000 isi rumah miskin bandar bagi membeli bekalan makanan asas.
Nilai kredit eBelia naik RM150
Program eBelia yang bertujuan menggalakkan budaya transaksi ‘cashless’ akan ditambah baik dengan bantuan yang ditingkatkan daripada RM100 kepada RM150. Program ini khusus untuk golongan berumur 18 tahun hingga 20 tahun serta pelajar IPTA.
Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar dalam projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) akan diperluas dengan tambahan peruntukan RM10 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan untuk 2021 bagi program ini sebanyak RM21 juta.