Pemilik sebuah pikap jenis Isuzu yang tular baru-baru ini selepas memaparkan pelekat tulisan Hebrew tampil memberi penjelasan bahawa pelekat berkenaan telah digunakan sejak tahun 2012 dan tiada kaitan dengan sebarang unsur provokasi.

Pemilik Pikap Jelaskan Tulisan Hebrew Di Kenderaan, Dakwa Hanya Minat Seni Tulisan Asing

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, lelaki berusia 59 tahun itu yang juga seorang pesara kerajaan, memaklumkan bahawa pelekat tersebut ditempah lebih sedekad lalu di sebuah kedai di Selangor kerana minat terhadap seni tulisan asing seperti Greek, Rusia dan Hebrew.

Katanya, siasatan awal mendapati tulisan Hebrew pada pelekat itu asalnya berbunyi “Yisrael Beiteinu” yang bermaksud Israel Rumahku, namun diubah oleh lelaki berkenaan kepada “Malizia Beiteinu” yang membawa maksud Malaysia Rumahku. Pelekat itu kemudian dilekatkan pada bahagian belakang kenderaannya dan hanya disedari orang ramai baru-baru ini sebelum tular di media sosial.

“Berdasarkan keterangan yang diambil, lelaki itu menegaskan tiada niat menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Dakwanya, tulisan itu hanya sebagai simbol rasa cinta terhadap negara dalam bentuk tulisan asing. Namun, siasatan lanjut tetap dijalankan bagi mendapatkan pandangan pakar bahasa untuk memastikan tiada elemen mencurigakan,” katanya.

Tambah beliau, polis setakat ini tidak menahan mana-mana individu namun telah mengarahkan agar pelekat berkenaan ditanggalkan sementara proses siasatan dijalankan. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Kredit: Kosmo!

 

 

 

 

[fbcomments]