Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu kehilangan besar buat negara.
![]()
“Sosok yang Memerdekakan Suara Rakyat” – PM Anwar Kenang Legasi Tun Abdullah
Dalam satu hantaran di media sosial, Anwar mengenang semula pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham yang ketika itu dalam keadaan uzur. Menurut beliau, walaupun kesihatan Allahyarham semakin merosot, wajahnya masih memancarkan kasih sayang dan ketenangan.
Katanya lagi, Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, merupakan seorang pemimpin yang bukan sahaja tenang dalam pendekatannya, malah membawa nafas baharu dalam landskap politik negara.
“Beliau bukan hanya seorang pemimpin, tetapi juga seorang insan berjiwa besar yang membawa pendekatan politik yang lebih terbuka dan damai,” kata Anwar.
![]()
Tambahnya, Tun Abdullah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari yang menggabungkan nilai-nilai agama dengan kemajuan dan pembangunan negara. Di bawah kepimpinannya, banyak perubahan positif berlaku, termasuk usaha meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran, memperkukuh institusi kehakiman dan memperluas ruang media serta suara rakyat.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurut Anwar, Allahyarham Tun Abdullah meninggalkan legasi yang cukup bermakna kepada rakyat dan negara, dan jasa beliau akan terus dikenang.
![]()
“Malaysia amat berhutang budi atas segala khidmat dan sumbangan beliau. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian negarawan yang banyak berjasa kepada tanah air.
Kredit: Anwar Ibrahim