Seorang pempengaruh media sosial berbangsa India, dikenali sebagai thedavids21, mendapat perhatian ramai apabila tindakannya membelikan pakaian baharu untuk sekumpulan anak yatim menjelang sambutan Aidilfitri mendapat pujian warganet.

Video di bawah:

https://vt.tiktok.com/ZSrem7Aek/

Pempengaruh India Beli Baju Raya untuk Anak Yatim, Tindakan Mulia Raih Pujian Warganet

Menerusi perkongsian di TikTok, video yang dimuat naik oleh pempengaruh tersebut telah meraih lebih 830,000 tontonan setakat ini. Rakaman berdurasi lebih dua minit itu memaparkan beliau membawa kanak-kanak tersebut ke sebuah pusat pakaian, di mana mereka diberikan kebebasan untuk memilih sendiri busana baharu serta songkok bagi menyambut hari raya.

Selain itu, tindakan murni ini turut mendapat sokongan daripada pihak pengurusan pusat pakaian tersebut yang menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus bagi pembelian pakaian anak-anak yatim berkenaan. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak terbabit.

Menurut pempengaruh tersebut, dorongan untuk melakukan kebaikan ini hadir daripada pengalaman peribadinya yang membesar sebagai anak yatim di bawah jagaan ibunya tanpa kehadiran seorang bapa. Kisah latar belakangnya itu membuatkan beliau lebih memahami perasaan serta cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak senasib.

Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kagum dan menghargai usaha murni yang dilakukan oleh pempengaruh ini. Ramai yang memuji keprihatinannya dalam membantu golongan kurang bernasib baik agar dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih bermakna.

Kredit: TikTok thedavids21

 

[fbcomments]