Usaha mencari seorang pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin, masih diteruskan selepas kereta miliknya ditemui terjunam ke dalam sungai di Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar.

Pempengaruh Permotoran Hilang, Kereta Ditemui Dalam Sungai

Menurut maklumat, lelaki berusia 38 tahun itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah, Johor Bahru pada tengah hari Isnin lalu untuk ke bengkel rakannya di Parit Jawa, namun gagal dikesan sehingga kini.

Kereta jenis Perodua Axia milik mangsa ditemui oleh rakannya, Muhammad Nazmi Mohd Zainal, dalam keadaan tenggelam di dalam sungai. Walau bagaimanapun, kelibat mangsa tidak kelihatan dan operasi mencari serta menyelamat terus digerakkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, PBK I Nor Alfatah Omar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 petang dan menemui kenderaan terbabit berada pada kedalaman kira-kira dua meter.

“Maklumat awal dari pihak polis memaklumkan kemungkinan kemalangan berlaku pada hari Isnin. Mangsa disyaki seorang lelaki dewasa yang masih belum ditemui,” jelas beliau.

Dalam masa sama, keluarga mangsa termasuk adik beliau, Tengku Abdul Aziz, turut menjalankan pencarian secara persendirian di sekitar kawasan Lenga, Bukit Kepong dan pekan Muar, namun masih belum menemui sebarang petunjuk.

Terdapat juga dakwaan di media sosial mengatakan mangsa telah meninggal dunia. Namun, keluarga tampil menafikan dakwaan tersebut dan memohon agar orang ramai menghentikan penyebaran maklumat yang tidak sahih.

“Setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai kematian abang saya. Polis masih meneruskan pencarian. Mohon jasa baik orang ramai padamkan hantaran berkaitan,” ujar Abdul Aziz.

Sementara itu, menurut sumber terdekat, Ija Nizaruddin sebelum ini pernah mengalami serangan jantung ketika memandu. Keadaan kesihatannya itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan yang berlaku ketika kejadian.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]