Semalam tular di media sosial mengenai insiden tentang seorang pempengaruh TikTok berbangsa India yang dikenali sebagai Esha, telah mengambil nyawanya sendiri akibat buli siber yang dihidapinya hingga mengganggu tekanan emosi sejak sebulan yang lalu.

Keluarga Mahu Tuntut Keadilan

Difahamkan, Esha meninggal dunia akibat tekanan daripada komen jelik yang diterimanya oleh beberapa individu yang kebanyakannya menggunakan nama samaran atau akaun palsu sejak sebulan yang lalu, yang turut menyebarkan fitnah tentang dirinya.

Mayat pempengaruh wanita yang berusia 30 tahun itu ditemui di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi pada hari Jumaat. Penemuan ini mengejutkan ramai pihak dan mencetuskan kesedihan di kalangan pengikut serta keluarga terdekatnya.

Susulan kejadian ini, keluarga mangsa mahu menuntut keadilan buat mendiang. Mereka tidak dapat menahan sebak atas pemergian Esha atau nama sebenarnya Rajeswary Appahu, dan berharap agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan gangguan tersebut.

Menurut kakak mendiang yang bernama Susila Appahu, 35, Esha disifatkan sebagai seorang yang baik dan tidak pernah mengganggu mana-mana pihak. Namun, dia tidak pernah menyangka adiknya itu telah menjadi mangsa buli secara maya kerana mendiang seorang wanita.

“Saya sudah hilang adik, saya anak sulung. Semua buli dia, banyak keluar dalam TikTok, carut, kotorkan nama dia, busukkan nama dia.

“Adik saya bagus pada semua orang, dia tidak ada buat salah dekat (pada) sesiapa. Dia seorang yang kuat. Dia buat baik. Semua buli dia sebab dia perempuan, dia tak boleh tahan. Dia sudah ‘hilang’ sekarang. Tolong rakyat Malaysia bantu kami dapatkan keadilan untuk Esha,” katanya.

Polis Sudah Tahan Suspek, Fahmi Fadzil Turut Turun Padang

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul iaitu Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, beliau memaklumkan bahawa seorang wanita telah ditahan kerana disyaki melakukan ugutan dan menyebarkan fitnah terhadap pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Rajeswary atau Esha. Ahmad Sukarno menyatakan bahawa pihak polis menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang, Sabtu lalu, berkaitan ugutan yang diterima Esha melalui media sosial.

Pengadu tersebut yang ketika itu berada di Jalan Ipoh, ibu negara, telah melihat dua hantaran di media sosial daripada dua akaun berbeza. Hantaran tersebut yang mengandungi ugutan dan fitnah terhadap Esha dibuat pada jam 10.15 malam, 30 Jun, dan 4.10 pagi keesokan harinya.

“Pengadu melihat dua catatan di TikTok yang dimuat naik oleh dua pengguna di bawah nama Dulal Brothers dan Alphaquinnsha yang memfitnah dan mengugut Rajeswary.

“Kedua-dua akaun menggunakan foto Rajeswary sebagai latar belakang untuk video yang dimuat naik pada akaun mereka. Video itu mengandungi ancaman terhadap Rajeswary dan menggunakan bahasa lucah,” katanya sambil menambah bahawa siaran itu kemudiannya dipadamkan.

Perkara ini turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil, yang hadir di upacara pengebumian mendiang Esha. Fahmi memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengenai isu ini.

Isu tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet yang dijadualkan Jumaat depan untuk mencari penyelesaian terbaik. Penyelesaian ini akan merangkumi aspek perundangan dan penguatkuasaan, bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab atas ugutan dan fitnah tersebut.

“Luluh hati seorang ibu melihat jasad anaknya tak bernyawa. Rajeswary Appahu, 29 tahun, telah mengambil nyawanya sendiri selepas dipercayai tertekan akibat dibuli beberapa individu dengan komen-komen jelik di TikTok.

“Saya amat kecewa dan marah dengan apa yang berlaku. Mereka yang menjadi punca kejadian ini perlu dibawa ke muka pengadilan. Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri semalam,”ujarnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Kredit: Kosmo!, Majoriti

[fbcomments]