Seorang pempengaruh TikTok lelaki yang dikenali ramai kerana sering tampil dengan penampilan menyerupai wanita dikenakan denda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Melaka semalam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melibatkan perbuatan berpakaian seperti wanita di tempat awam.
![]()
Lelaki Didenda RM1,800 Kerana Berpakaian Seperti Wanita di Tempat Awam
Tertuduh, Muhammad Hakim Noraji, 25, yang popular di media sosial dengan nama “Melinda B”, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Amirrudin Abdul Latip.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Hakim didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berbeza iaitu pertama di Bangunan A Famosa sekitar jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 10 Jun lalu, dan satu lagi di hadapan Bangunan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Jalan Kota, Banda Hilir kira-kira jam 1.30 pagi Isnin.
![]()
Kesemua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang melarang lelaki berpakaian atau berkelakuan seperti perempuan di tempat awam tanpa alasan munasabah. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Ahmad Faizul Ashar, manakala tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM850 untuk pertuduhan pertama, dan RM950 bagi pertuduhan kedua. Sekiranya gagal membayar, tertuduh akan dipenjara selama sebulan bagi setiap kesalahan. Bagaimanapun, tertuduh membayar jumlah denda berkenaan di mahkamah.
![]()
Terdahulu, tertuduh menjadi perhatian awam apabila videonya tular dalam keadaan berpakaian seperti wanita semasa melakukan siaran langsung menerusi TikTok di sekitar Banda Hilir.
Susulan aduan orang awam, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menahan lelaki terbabit kira-kira jam 1.30 pagi di lokasi kejadian. Menurut JAIM, ketika ditahan, beliau lengkap mengenakan blaus ungu, rambut palsu bersanggul, anting-anting serta kasut wanita.
Kredit: Sinar Harian