Seorang lelaki mengambil keputusan memeluk Islam sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan selepas sekian lama mendalami agama tersebut.

Muhammad Khalid Alwalid Abdullah, 22, melafazkan dua kalimah syahadah di Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dengan bimbingan Ustaz Syed Musa Syed Abu Bakar pada kelmarin.

Pemuda Peluk Islam Sehari Sebelum Ramadan, Bersyukur Dapat Restu Keluarga

Menurut Muhammad Khalid, keputusan tersebut dibuat dengan penuh rela hati dan lebih bermakna apabila mendapat restu daripada ibu serta lima adik-beradiknya.

“Keputusan saya memeluk Agama Islam dibuat dengan hati yang tenang, lebih-lebih lagi apabila ibu saya merestui keputusan yang saya buat. Alhamdulillah, emak dan lima adik beradik tidak membantah malah memberikan persetujuan,” katanya.

Tambah Muhammad Khalid, minatnya untuk mendalami Islam mula timbul selepas sering mengikuti ceramah agama menerusi media sosial, selain dorongan daripada rakan serta keluarga angkatnya.

“Sebelum ini saya memang mengikuti ceramah oleh ustaz-ustaz di laman sosial seperti TikTok, hati saya tertarik untuk mendalami islam. Malah sebelum menjadi seorang Muslim, saya berpuasa hari Isnin dan Khamis selama dua bulan dengan dorongan rakan dan keluarga jiran yang juga keluarga angkat saya,” tambahnya.

Katanya lagi, sambutan Ramadan kali ini memberi makna besar apabila berpeluang menunaikan solat tarawih berjemaah buat pertama kali sehari selepas memeluk Islam.

“Saya rasa syukur tetapi dalam masa sama gementar sebab ini kami pertama saya solat di masjid. Alhamdulillah rakan dan keluarga angkat banyak membantu, mereka mudahkan saya untuk semua urusan termasuk menyediakan kelengkapan solat.

“Keluarga angkat saya ada jiran yang duduk berdekatan di Kota Masai. Mereka pelawa sahur dan berbuka bersama-sama. Mereka menerima saya seperti anak sendiri,” ujanya lagi.

Sementara itu, ibu angkatnya, Normala Abdullah, 60, berkata beliau bersyukur dengan keputusan Muhammad Khalid dan berjanji akan terus memberi sokongan penuh kepada anak angkatnya itu.

“Kami berjiran sejak dia kecil, dia selalu datang ke rumah dan berkawan rapat. Malah, ramai kawan-kawannya juga beragama Islam. Saya tanya dia, kamu masuk Islam kerana hati atau pengaruh kawan? Dia jawab dengan yakin, ini keputusannya sendiri, tanpa sebarang paksaan,” jelasnya.

Terdahulu, Muhammad Khalid menerima nama Islam yang diberikan oleh abang angkatnya, Ruzaimi, yang turut menjadi individu terdekat menyokong perjalanan beliau mengenali Islam.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]