Tragedi mendaki di Gunung Liang, Tanjung Malim, Perak berakhir dengan duka apabila seorang pendaki yang dilaporkan hilang baru-baru ini ditemui meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat, semalam.

Mangsa, Mustaqqeem Mansor, 34, dari Sungai Petani, Kedah, ditemukan sekitar jam 3.30 petang selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejak beberapa hari lalu.

Pendaki Hilang di Gunung Liang Ditemui Maut, Netizen Persoal Tindakan ‘Sweeper’

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah, mangsa memulakan pendakian bersama 10 rakan pada 10 Oktober lalu dari Bukit Fraser, Pahang, dan dijadualkan menamatkan pendakian di Gunung Liang. Operasi pencarian dijalankan menggunakan konsep LAST dengan menelusuri laluan pendakian sehingga ke lokasi akhir mangsa dikesan. Seramai 22 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, APM, Jabatan Perhutanan Negeri, PBS Slim Village dan UPSI terlibat dalam operasi tersebut.

Difahamkan, kali terakhir Mustaqqeem dilihat ialah pada Selasa sekitar 10.30 malam ketika berada di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan. Pada waktu itu, rakan-rakan lain meneruskan perjalanan menuruni gunung, manakala mangsa dikatakan ditinggalkan bersendirian bersama ‘sweeper’ kumpulan, individu yang biasanya ditugaskan menjaga peserta terakhir.

Namun, menurut laporan yang tular di media sosial, ‘sweeper’ terbabit didakwa meninggalkan mangsa sendirian di puncak. Tindakan itu menimbulkan tanda tanya dan kemarahan netizen yang berpendapat mangsa sepatutnya tidak dibiarkan keseorangan dalam keadaan tidak sihat di kawasan berisiko tinggi.

Usaha membawa turun jasad mangsa dijangka dilakukan menggunakan helikopter bomba pada jam 9 pagi, namun tertangguh akibat keadaan cuaca tidak mengizinkan. Sementara itu, pasukan penyelamat kedua telah digerakkan ke lokasi untuk menggantikan pasukan pertama dan bermalam di kawasan puncak bagi meneruskan misi pagi ini.

Tragedi itu turut mendapat perhatian ramai netizen yang menzahirkan rasa sedih dan menyeru agar pihak penganjur serta individu bertanggungjawab dalam kumpulan pendakian tersebut tampil memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Kredit: Berita Harian, Threads uchiha_mamato

 

 

[fbcomments]