Pendakian terakhir yang dirancang sebagai penutup kepada hobi lasak seorang jurutera berusia 57 tahun berakhir dengan tragedi. Rennie Abdul Ghani, pendaki warga Malaysia, dilaporkan maut selepas terjatuh di laluan curam Torean di Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia baru-baru ini.

Pendakian Terakhir Bertukar Tragedi, Rennie Abdul Ghani Meninggal Dunia di Gunung Rinjani

Menurut adiknya yang hanya dikenali sebagai Yana, Allahyarham berlepas ke Indonesia pada 30 April lalu bagi menyertai ekspedisi pendakian anjuran Juan Adventure Rinjani bersama 23 pendaki lain. Mereka sekeluarga dimaklumkan tentang kejadian menyayat hati itu sekitar jam 8 malam waktu tempatan.

“Abang sempat beritahu semasa Aidilfitri lalu, ini gunung terakhir yang dia nak daki. Lepas ni katanya nak fokus pada maraton sahaja,” kata Yana ketika dihubungi. Tambahnya lagi, arwah seorang yang penyayang, tegas tetapi kelakar, serta sangat menepati masa. Rennie turut digambarkan sebagai seorang perancang yang bijak dan sentiasa mengambil berat tentang keluarga.

Allahyarham sepatutnya pulang ke tanah air pada hari kejadian. Namun, nasib berkata sebaliknya. Menurut maklumat awal, Rennie dipercayai terjatuh semasa melalui salah satu bahagian curam laluan Torean, yang terkenal sebagai antara trek paling mencabar di Gunung Rinjani. Laluan ini sepanjang kira-kira 24 kilometer dan melibatkan pendakian dari Kampung Torean hingga ke ketinggian melebihi 2,600 meter.

Misi membawa keluar jenazah dari lokasi kejadian memerlukan masa dan tenaga yang tinggi. Usaha menyelamat dilakukan secara manual oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan dan SAR Lombok Timur. Penggunaan helikopter tidak dapat dilakukan kerana keadaan laluan yang terlalu curam dan berbahaya.

Anak sulung Allahyarham telah berada di Indonesia untuk menguruskan proses membawa pulang jenazah. Adiknya turut memaklumkan bahawa jenazah sudah berjaya dibawa turun ke pintu gerbang Torean dan akan dihantar ke hospital berdekatan bagi urusan lanjut. Keluarga kini sedang berurusan dengan pihak Kedutaan Malaysia bagi membawa pulang jenazah ke tanah air.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]