Pendakwah selebriti Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Hukuman ini dikenakan berikutan sabitan atas pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium pada lima tahun lalu.
Dipenjara 10 Tahun, Isteri Dalam Pantang Menangis Ketika Hukuman Dijatuhkan Terhadap Da’i Syed
Menurut laporan Harian Metro, Syed Shah Iqmal menunjukkan emosi yang mendalam ketika keputusan dibacakan oleh Hakim Norazlin Othman, dan beliau kelihatan teresak-esak dalam kandang tertuduh. Dalam keadaan tersebut, beliau sempat memeluk isterinya, Hana Ismail, yang baru sahaja melahirkan anak 16 hari lalu dan kini masih dalam tempoh berpantang. Hukuman penjara ini berkuat kuasa pada 30 Ogos 2024.
Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie telah membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan tersebut tanpa memanggilnya untuk membela diri. Walau bagaimanapun, pada 10 Disember 2020, Syed Iqmal telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang berlaku pada 11 September 2019 di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Kuala Lumpur, sekitar jam 1.35 pagi.
Pertuduhan ini di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan. Sepanjang perbicaraan yang bermula pada April 2022, seramai 18 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Selain itu, pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya juga telah melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan tambahan, iaitu persetubuhan di luar tabii dan pencabulan terhadap seorang penuntut kolej swasta.
Kredit: Harian Metro