Seorang pendakwah selebriti bersama Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pendidikan serta dakwah sekali lagi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
![]()
SPRM Kedah Tahan Semula Pendakwah Popular, Siasat Salah Guna Dana Institusi
Mahkamah Majistret Alor Setar pada Jumaat membenarkan perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari terhadap kedua-dua individu berkenaan selepas permohonan dibuat pihak SPRM.
Sebelum ini, kedua-dua suspek telah direman selama sehari di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis sebelum dibebaskan kira-kira pukul 5 petang. Namun, mereka ditahan semula sekitar sejam kemudian bagi membantu siasatan kes berasingan. Suspek yang masing-masing berusia lingkungan 30-an itu disyaki bersubahat dalam menyeleweng dana institusi dengan memasukkan wang ke dalam akaun peribadi.
Siasatan turut mendapati mereka dipercayai meluluskan pembayaran bagi pembelian sebuah rumah bernilai sekitar RM500,000 selain disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan penggunaan dana awam berjumlah RM600,000.
![]()
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan telah dijalankan sejak Oktober tahun lalu dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML). Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Penahanan itu turut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial mengenai identiti pendakwah popular terbabit yang dikatakan kerap tampil dalam program dakwah televisyen pada waktu pagi.
Kredit: mStar