Pelawak terkenal iaitu Mamat Sepah mengakui bahawa pengalaman digari bersama isteri ketika ditahan bagi membantu siasatan pada 2 Julai lalu merupakan satu memori yang paling bermakna dalam hidupnya.
Video di bawah:
Digari Bersama Isteri Merupakan Pengalaman Manis
Mamat, atau nama sebenarnya Mohd Nor Murad, 38, melihat insiden tersebut sebagai simbol keabadian hubungan mereka sebagai pasangan suami isteri.
“Pengalaman digari bersama isteri adalah sesuatu yang manis dan tidak akan saya lupakan. Kami berdua dibawa ke mahkamah dan menjalani ujian air kencing.
“Saya beritahu isteri, jika umur panjang, dialah satu-satunya manusia yang akan bersama saya hingga akhir hayat.
“Gari bersama itu seolah-olah simbolik bahawa kami akan kekal bersama,” kata Mamat Sepah dalam podcast bersama Shuib, Fizie dan Shuk Sahar di YouTube.
Menurut Mamat, isterinya, Nor Diana Ibrahim, 37, sangat terkesan dengan kejadian tersebut dan masih bersedih meskipun hampir sebulan telah berlalu. Mamat juga mendedahkan bahawa isterinya mengalami masalah ‘anxiety‘ yang agak teruk.
“Aib isteri saya bagaimana? Aib saya tidak mengapa kerana saya sudah biasa. Selama ini orang memuji dia, tetapi sekarang dia menyimpan air mata hingga ke hari ini,” katanya.
Mamat juga menjelaskan bahawa dia tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai kes penahanan mereka kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sebelum ini, Mamat dan isterinya yang merupakan seorang anggota polis telah mengaku ditahan berhubung dakwaan penyebaran maklumat di aplikasi Telegram.
Penahanan itu berkaitan dengan gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan di IPD Shah Alam.
Kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Kredit: Youtube Shuib Channel