Baru sahaja melangkah ke fasa baharu dalam hidup, seorang pengantin wanita diuji dengan pemergian bapanya hanya beberapa jam selepas majlis akad nikah.

Kegembiraan Bertukar Duka, Pengantin Kehilangan Bapa Beberapa Jam Selepas Akad Nikah

Wanita yang dikenali sebagai Nor Hanisah Ali, 27, berkongsi kisah pilu itu menerusi satu hantaran di TikTok, di mana bapanya rebah sejurus selepas menyaksikan sendiri pernikahannya pada petang Jumaat sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pagi keesokan harinya.

“Abah sempat tunaikan hajat dan janji nak nikahkan semua anak perempuan abah. 

“Kami ada empat beradik. Tiga perempuan dan seorang lelaki. Saya anak perempuan terakhir dan juga yang terakhir dia nikahkan.

“Al-fatihah abah, kakak sayang abah dunia akhirat,” ceritanya.

 

Bapanya, Ali Hassan, 60, dilaporkan telah lama menghidap penyakit jantung sejak dua tahun lalu. Meskipun tidak sihat seminggu sebelum majlis pernikahan, arwah tetap berkeras untuk tidak mendapatkan rawatan di hospital kerana mahu melihat majlis anaknya berjalan lancar.

“Arwah ayah memang tak sihat seminggu sebelum saya akad nikah. Dia cuma demam. Klinik minta dia refer ke hospital, tapi arwah tak nak. Dia cakap tunggu majlis selesai,” katanya lagi.

Namun, kegembiraan yang diimpikan bertukar duka apabila arwah rebah selepas majlis akad nikah. Keadaannya semakin kritikal sebaik tiba di rumah, menyebabkan beliau segera dibawa ke Hospital Jasin, Melaka.

Doktor memaklumkan kepada keluarga mengenai keadaan serius yang dihadapinya, dan beberapa jam kemudian, pada jam 6.10 pagi Sabtu, beliau menghembuskan nafas terakhir.

Walaupun dilanda kesedihan, majlis kenduri tetap diteruskan bagi memenuhi permintaan terakhir arwah. Namun, suasana majlis berlangsung dalam keadaan sayu, tanpa muzik dan kompang sebagai tanda penghormatan kepada arwah.

“Arwah meninggal pukul 6.10 pagi dan selesai dikebumikan pukul 10 pagi. Majlis (kenduri) pukul 11 pagi. Diteruskan macam biasa tanpa muzik dan kompang, sunyi.

“Saya tiada di lokasi (pengebumian) kerana perlu bersiap untuk teruskan bersanding dan memikirkan ini merupakan permintaan terakhir arwah. Selesai bersanding baru ke kubur.

“Majlis sanding diteruskan dalam keadaan yang sayu, bersanding dengan air mata yang sentiasa nak jatuh,” ujarnya.

Nor Hanisah mengakui bahawa kekuatannya untuk meneruskan majlis datang daripada sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan. Walaupun diuji dengan kehilangan insan tersayang, beliau tetap tabah menghadapi detik itu demi menghormati amanah terakhir arwah bapanya.

Kredit: TikTok nisavnn04, mStar

 

[fbcomments]