fbpx

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart iaitu Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan, serta isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui dilaporkan telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada hari ini atas pertuduhan melukakan perasaan umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah, yang pernah tular pada beberapa bulan yang lalu.

KK Mart Dan Syarikat Pengedar Masing-Masing Didenda RM60,000

Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd, turut dibebaskan melalui perintah DNA. Mereka adalah Soh Chin Huat, 61; Goh Li Huay, 62; dan Soh Hui San, 36.

Namun demikian, dalam prosiding yang sama, syarikat KK Mart dan Xin Jian Chang telah dikenakan denda sebanyak RM60,000 setiap satu atas pertuduhan bersubahat dalam kes yang sama. Pengurus besar KK Mart iaituTee Kok Hiem, 61, dan pengarah syarikat pembekal tersebut, Hui San, menerima hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mahkamah turut menetapkan bahawa denda tersebut harus dibayar dalam tempoh tiga hari. Dalam prosiding, Hakim Muhamad Anas menasihati kedua-dua syarikat untuk lebih berhati-hati dalam menangani isu-isu sensitif, memandangkan negara ini terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum dan agama.

Beliau menekankan bahawa walaupun ini merupakan kesalahan pertama bagi semua tertuduh, namun kesalahan ini tidak boleh dianggap remeh. Hakim menyatakan, “Saya bukan mahu berdakwah, tetapi isu keagamaan adalah sangat sensitif bagi mana-mana agama sekali pun dan ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa.”

Beliau juga berharap KK Mart dan Xin Jian Chang akan mengambil iktibar daripada kejadian ini dan bertanggungjawab dalam memperketatkan kawalan kualiti produk mereka, kerana barangan yang mereka jual akan digunakan oleh orang ramai.

“Selepas ini, saya harap kejadian sebegini tidak akan berulang,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]