Pada bulan Februari lalu, tularnya sebuah kejadian dimana seorang pengemis telah terkantoi memiliki sebuah kereta jenis Proton X70 Premium hasil dari kegiatan mengemisnya.
Terbaharu, susulan pembongkaran akitiviti mengemis lelaki terbabit, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghentikan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) yang diperoleh lelaki berkenaan.
Diberi Amaran & Surat Aku Janji Sebagai Jaminan Tidak Mengemis
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Noraini Ahmad, beliau memaklumkan bahawa beliau telah mengambil beberapa tindakan untuk dikenakan kepada individu terbabit, termasuklah memberi amaran dan melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan tidak mengemis.
“Berdasarkan siasatan, betul Yang Berhormat menyatakan bahawa individu yang ditularkan itu ada menerima bantuan elaun pekerja OKU sebanyak RM450. Ada beberapa tindakan telah diambil seperti memberi amaran, melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan untuk tidak mengemis, dan bantuan diberhentikan sejak Mac 2024.
“Siasatan lanjut juga mendapati bahawa dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif, dengan anggaran pendapatan RM2,000,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Peroleh Sehingga RM500 Hasil Daripada Mengemis
Mengulas dengan lebih mendalam, difahamkan lelaki yang cacat pada kedua-dua tangannya itu memperoleh pendapatan sehingga RM500 dalam tempoh lima jam hasil sumbangan orang ramai di pasar malam.
Sementara itu, Noraini (BN-Parit Sulong) berkata di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, tiada hukuman punitif terhadap golongan mengeksploitasi kekurangan diri untuk menjana kemewahan.
Katanya, kementerian sedang menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 secara komprehensif bagi menambah baik pengendalian isu orang papa dan gelandangan.
“Betul, akta ini tidak ada peruntukan berbentuk punitif kerana asasnya berprinsipkan kebajikan. Dalam konteks kebajikan, objektifnya ialah memulihkan seseorang yang berada dalam kesukaran apabila boleh membantu kembali berdikari,” jelasnya lagi.
Noraini menambah kajian ke atas Akta Orang-Orang Papa 1977 dilaksanakan selama 21 bulan dan dijangka siap pertengahan tahun ini, dengan dapatan akhir akan dibentang kepada kementerian.
Kredit: Berita Harian