Kes penghantar makanan dipukul dan dibelasah oleh pelanggan bukanlah perkara yang baru. Nampaknya, baru-baru ini tular video di laman Twitter rider Foodpanda didakwa dibelasah oleh seorang pelanggan di Bandar Mahkota Cheras.
Menerusi perkongsian video itu, sumber memberitahu pengawal rumah pelanggan berkenaan tidak benarkan rider tersebut untuk naik ke atas ataupun masuk sehingga sampai ke depan pintu rumah.
Didenda RM800
Terbaru, menurut laporan Sinar Harian, kedua-dua individu yang terlibat itu telah dibicarakan di mahkamah majistret.
Kedua-dua individu iaitu penghantar makanan, Jasmady Jazman dan Saiful Sazni dikenakan denda sebanyak RM800 setiap seorang apabila mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Selain itu, pihak mahkamah turut memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara selama tujuh hari sekiranya gagal untuk membayar denda tersebut.
Pertuduhan di baca dengan mendakwa mereka telah melakukan gempar di kawasan perumahan itu sehingga telah menganggu ketenteraman awam.
Pelanggan maki sebelum menolak
Menurut pengakuan dari penghantar makanan iaitu Jasmady, dia mendakwa mahu menghantar pesanan makanan itu kepada Saiful namun dihalang oleh pengawal keselamatan kediaman tersebut yang tidak membenarkan dia masuk kawasan itu. Lalu, Jasmady menelefon pelanggannya itu untuk turun mengambil makanan sendiri.

Gara-gara tidak berpuas hati dengan permintaan itu, Saiful telah bertindak memaki dan menolak Jasmady sehingga berlakunya pergaduhan.
Rider alami kecederaan, motor rosak
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar mereka tidak bergaduh di tempat awam.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman ringan.
Jasmady berkata, dia hanya bertindak untuk mempertahankan diri namun kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan selain motosikalnya rosak.
Sementara bagi Saiful Shazni, dia merayu agar dikenakan hukuman ringan memandangkan dia merupakan seorang penanggung tunggal keluarga.