Nama selebriti popular tanah air, Nur Fazura, kembali menjadi sebutan selepas timbul dakwaan yang mengejutkan melibatkan isu hutang jutaan ringgit.

Menurut sebuah syarikat pengilang tudung, Obor Holding Sdn Bhd, mereka kini berdepan tekanan kewangan serius gara-gara kegagalan syarikat milik aktres tersebut melunaskan bayaran berjumlah RM4.65 juta.

Fazura Didakwa Berhutang RM4.65 Juta, Syarikat Pengilang Tudung Tampil Bersuara

Perkara ini didedahkan sendiri oleh pengasas dan pengarah urusan Obor Holding, Lim Boon Hai, yang memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu terhadap dua syarikat iaitu Pink Fate Sdn Bhd dan Fazfit Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan nama Fazura.

Menurut Boon Hai, segala usaha untuk menyelesaikan perkara ini secara baik sudah dilakukan sejak tahun 2023, namun tiada sebarang kerjasama diberikan.

“Kami dah hantar notis rasmi kepada syarikat mereka tapi sampai sekarang masih tak ada jawapan. Dah macam-macam cara kami cuba hubungi, tapi semuanya hampa,” katanya dengan nada kecewa.

Tambah mengejutkan, Boon Hai turut mendakwa pihaknya pernah menerima cek tendang berjumlah RM1 juta daripada syarikat milik Fazura pada September tahun lalu.

“Betul. Pihak saya menerima cek tendang berjumlah RM1 juta daripada pihak sana. Memang tak sangka benda ini berlaku. Janji nak bayar tapi apa yang kami dapat hanyalah janji-janji kosong. Saya takkan ke depan (cerita pada media), andai semua dakwaan tidak benar.

“Saya memang tak sangka orang sepopular dan sehebat Fazura sanggup membuat kami tertunggu-tunggu bagai buah tak gugur mendapatkan hak kami sebagai pengilang tudung,” katanya lagi.

Menurutnya, syarikat pengilang tudung miliknya, Feline Malaysia, telah membekalkan tudung kepada Pink Fate sejak Jun 2022 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM7.3 juta. Namun, setakat Disember 2023, hanya RM2.68 juta dibayar – meninggalkan baki hutang sebanyak RM4.65 juta yang masih belum dijelaskan.

Boon Hai juga tidak mahu kejadian ini menjadi ikutan kepada pihak lain dan menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan perniagaan, walaupun berurusan dengan individu ternama.

“Saya terbuka untuk berbincang di luar mahkamah tapi nampaknya perkara itu takkan kerana keengganan pihak sana untuk memberi sebarang kerjasama. Jadi, inilah jalannya,,” ujarnya lagi.

Setakat artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi atau maklum balas daripada pihak Fazura atau wakil syarikat beliau.

Kredit: Kosmo!

 

 

 

[fbcomments]