Menderma organ sendiri bagaikan hilang separuh nyawa kerana hanya mengharapkan organ-organ yang lain untuk berfungsi dengan baik, namun tidak bagi seorang lelaki kiriman tuhan ini. Seorang lelaki yang dikenali sebagai Bukhari, 25, telah mencuri tumpuan ramai kerana pengorbanannya untuk mendermakan buah pinggang kirinya kepada si isteri, Nurul Hasanah Salim, 31, menerusi prosedur transplan pada 12 Mei yang lepas.
Isteri Berhak Hidup Sihat Macam Orang Lain
Menurut sumber yang dipetik dari Harian Metro setelah menemu ramah Bukhari, selepas pasangan ini diijabkabul pada 2020, mereka hanya dapat menjalani kehidupan normal sebagai suami isteri selama satu minggu sahaja sebelum isterinya dikejarkan ke hospital akibat komplikasi teruk pada buah pinggang.
“Ikutkan kami tak sempat pergi berbulan madu kerana selepas seminggu kahwin, isteri tunjukkan simptom badan sejuk, tak larat, menggigil dan nak muntah. Hasil pemeriksaan awal ujian darah yang dilakukan oleh isteri menunjukkan keputusan tidak normal, kemudian doktor sahkan dia ada masalah buah pinggang kerana organnya itu mengecut dengan fungsi hanya lima peratus saja”, jelasnya kepada Harian Metro.

Tawarkan Diri Untuk Jadi Penderma
“Doktor kata kalau nak hidup normal kena dapatkan buah pinggang daripada penderma hidup atau mati otak, jadi saya tawarkan diri (untuk jadi penderma) dan teruskan hasrat itu selepas berbincang serta dapat restu keluarga”, katanya demi menyelamatkan nyawa isterinya tanpa melakukan sebarang rawatan dialisis.
Walaupun begitu, terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya untuk menjadi perderma buah pinggang kepada isterinya, tetapi beliau sudah nekad dan berfikir panjang untuk memberi dengan ikhlas separuh nyawanya itu.
Dah Tulis Wasiat Awal Untuk Isterinya Kalau Pergi Awal
“Ramai juga tanya dengan saya mengapa saya nak dermakan buah pinggang dan tak takut ke memandangkan masih muda. Jujurnya memang gementar kerana ia soal hidup dan mati malah saya sampai tulis wasiat tetapi cekalkan hati demi isteri. Lagipun organ yang saya ada itu adalah pinjaman Allah SWT, jadi apa salahnya derma buat isteri yang memerlukan”, katanya lagi sambil terbuka hati menceritakan detik-detik yang dilaluinya.
Dengan izin tuhan kini isteri kepada Bukhari tidak lagi menderita akibat penyakit buah pinggang. Bagi perkembangan terkini, keadaan isterinya semakin pulih dan sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Isterinya juga dalam usaha menjaga pemakanan dan tidak terlalu aktif dengan aktiviti lasak seperti yang disyorkan oleh doktor.
Kredit: Harian Metro