fbpx

Seorang pengusaha bakeri di Cheras, Kuala Lumpur, tampil memohon maaf selepas timbul kontroversi mengenai insiden melibatkan seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang didakwa dihalau keluar dari premisnya kerana menggunakan kerusi roda.

Pelanggan Kesal Peniaga Letak Syarat Sebegitu

Wanita berusia 44 tahun, yang ingin dikenali sebagai Syu, meluahkan rasa kesal dan mengakui bahawa kesilapan telah dilakukan oleh pihaknya semasa kejadian tersebut.

Menurut Syu, yang menguruskan kedai roti yang baru beroperasi lebih setahun itu, premisnya memang mempunyai polisi yang tidak membenarkan pelanggan menggunakan selipar, stroller bayi, atau kerusi roda di dalam kedai.

Difahamkan arahan tersebut diperkenalkan selepas satu insiden di mana najis ditemui pada kerusi roda dan stroller yang dibawa masuk ke premisnya.

“Saya adalah pengusaha Syu Bakers merendah diri meminta seribu kemaafan atas perkara yang berlaku berkenaan isu kerusi roda OKU tidak dibenarkan masuk ke dalam premis saya dan staf saya menegur perkara itu kepada pelanggan,” ujarnya.

Syu turut menekankan bahawa beliau bukanlah seorang yang bersikap kejam terhadap golongan OKU, memandangkan bapanya sendiri adalah seorang OKU dan ibunya menggunakan kerusi roda.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Syu juga menyatakan bahawa dia menerima segala teguran yang diberikan dan berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap perkhidmatannya bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

“Saya manusia tidak lari melakukan kesilapan. Maafkan segala kekhilafan saya kepada pelanggan yang hadir berkerusi roda dan staff saya arahkan keluar itu.

“Terima kasih kepada semua yang menegur dan InshaAllah saya akan lakukan yang terbaik akan datang untuk anda semua.

“Maafkan saya. Saya juga insan biasa yang mencari rezeki,” tulisnya di Facebook.

Kredit: FB Syu Bakers

 

 

[fbcomments]